SHAH ALAM, 30 MEI: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menghulurkan bantuan makanan kering dan air minuman kepada mangsa kebakaran sembilan kediaman di Kampung Jenderam Hilir, Dengkil kelmarin.
Ketua tanggungjawab sosial korporatnya berkata pihaknya turut menyumbang lampin pakai buang kanak-kanak bagi memudahkan urusan mangsa.
“Semalam kita hantar bantuan ini ke dewan kampung yang menjadi pusat pemindahan sementara semua mangsa. Dalam masa terdekat kita akan serahkan wang ehsan bagi meringankan beban mereka.
“Pada masa sama kita turut menghubungi Lembaga Zakat Selangor dan Yayasan Islam Darul Ehsan supaya urusan bantuan selanjutnya boleh dilakukan,” kata Ahmad Azri Zainal Nor ketika dihubungi hari ini.
Dalam kejadian kelmarin, seramai 25 individu termasuk lima kanak-kanak tinggal sehelai sepinggang selepas rumah sewa mereka terbakar.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Norazam Khamis berkata tiada mangsa cedera atau terkorban dalam kejadian pada jam 9 malam itu dan punca kebakaran masih disiasat.