ad
AGENDA

MBSA sedia kios kumpul sisa makanan, proses jadi baja kompos

26 Mei 2022, 12:04 PM
MBSA sedia kios kumpul sisa makanan, proses jadi baja kompos
MBSA sedia kios kumpul sisa makanan, proses jadi baja kompos

SHAH ALAM, 26 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan kemudahan kios sisa makanan dalam usaha menggalakkan pengasingan makanan dari rumah.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan sisa makanan yang dikumpul akan dihantar ke pusat pemprosesan untuk dijadikan baja kompos.

Berdasarkan poster yang dikongsi, MBSA memaklumkan kios itu disediakan di tiga lokasi iaitu pusat kitar semula Seksyen U13, Setia Alam; Seksyen U5, Bandar Pinggiran Subang dan Seksyen U2, Taman Perindustrian Saujana Indah.

"Kios hanya menerima lebihan makanan, tulang ayam dan ikan, kulit telur, sayuran dan buah-buahan kecuali durian, dan kelapa manakala kutleri dan pembungkus makanan serta minuman tidak diterima," katanya di Facebook.

Sepanjang Ramadan lalu, MBSA menerusi jabatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam menjayakan program mengumpul lebihan makanan di tapak bazar.

Program bermula 4 hingga 21 April itu berjaya mengutip 2,294.4 kilogram (kg) lebihan makanan melibatkan 1,268.9kg makanan dan 1,025.5kg minuman daripada bazar di Seksyen 19, Sri Muda Seksyen 25 dan Subang Bestari Seksyen U5.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.