ad
BERITA UTAMA

Wakil rakyat Seri Setia tumpu bantu B40, sedia kemudahan selesa

16 Mei 2022, 2:01 AM
Wakil rakyat Seri Setia tumpu bantu B40, sedia kemudahan selesa
Wakil rakyat Seri Setia tumpu bantu B40, sedia kemudahan selesa
Wakil rakyat Seri Setia tumpu bantu B40, sedia kemudahan selesa
Wakil rakyat Seri Setia tumpu bantu B40, sedia kemudahan selesa
Wakil rakyat Seri Setia tumpu bantu B40, sedia kemudahan selesa

Pengalaman hampir sedekad bergelar ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sejak 2008 banyak membantu Halimey Abu Bakar untuk memahami masalah dan keperluan masyarakat.

Malah, jatuh bangunnya di Kampung Lindungan memberi kelebihan kepada bapa tiga anak ini untuk dicalonkan sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN) pada pilihan raya kecil 2018 sebelum memperoleh kemenangan. Wartawan MUSTAKIM RAMLI menyingkap pengalaman dan perancangan pemimpin berusia 50 tahun dalam membela penduduk DUN Seri Setia.

Bagaimanakan pengalaman sebagai ahli majlis hampir 10 tahun membantu pentadbiran negeri?

Saya bermula sebagai ahli majlis MBPJ sejak 2008 selepas Kerajaan Pakatan Rakyat ketika itu menang di Selangor. Apa yang saya lihat selepas menang pada pilihan raya umum 2008, rakyat tidak tahu ada ahli majlis dan fungsinya. Semasa itu, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengarahkan ahli majlis perlu mempunyai pejabat di setiap PBT bagi mengenali rakyat dan mereka tahu peranan kita.

Fungsi ahli majlis ialah sebagai pengubah dasar yang perlu mendapat persetujuan bersama. Mereka juga berperanan sebagai penghubung dan pemudah bicara masyarakat dengan PBT untuk anjurkan pelbagai program. Setiap PBT ada masalah sendiri antaranya infrastruktur, sampah, penyakit dan pembangunan. Jadi bila ada ahli majlis, maka rakyat dapat mengetahui selok-belok kerajaan bandar dan negeri. Kejayaan Pakatan Harapan (HARAPAN) adalah manifesto yang diuar-uar ahli majlis kepada penduduk.

Sejak bergelar wakil rakyat di DUN Seri Setia, apakah perkara yang paling mencabar?

Cabaran paling ditakuti ialah bencana alam. Saya cukup risau tetapi alhamdulillah kita ada sukarelawan yang hebat. Pejabat Daerah Petaling, Majlis Badaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) banyak membantu ketika musibah melanda. Ini cabaran yang paling ditakuti dan sudahpun berlaku. Kebakaran juga pernah dua kali berlaku sepanjang menjadi wakil rakyat. Banjir di Seri Setia paling dahsyat pada Disember tahun lalu. Inilah cabaran paling besar.

[caption id="attachment_521233" align="aligncenter" width="647"] Halimey Abu Bakar menyampaikan baucar Jom Shopping Raya DUN Seri Setia kepada penduduk sekitar Taman Mesra, Pangsapuri Melewar dan TTDI Jaya pada 28 April 2022. Foto Halimey Abu Bakar.[/caption]

Sebahagian besar penduduk DUN Seri Setia golongan berpendapatan rendah (B40), bagaimana YB membantu mereka?

Kawasan ini banyak golongan miskin bandar yang sukar untuk bekerja berikutan kilang ditutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan. Malah ada yang tidak dapat lagi bekerja lebih masa kerana waktu kerja dipendekkan. Jadi, apabila mereka berjumpa saya, saya syorkan skim pinjaman Hijrah untuk memulakan perniagaan. Peniaga yang menghadapi masalah modal juga kita syorkan. Bagi peniaga yang menjalankan peniagaan dalam tempoh lama kemudian barang rosak dan tidak tahu untuk buat pusingan modal kita bantu mereka dapat geran Blueprint dari Kerajaan Negeri. Untuk peniaga restoran yang menghadapi kesukaran modal kerana dapur rosak, kita syorkan skim usahawan mikro menerusi geran Kerajaan Negeri. Skim ini membolehkan mereka mendapat kelengkapan tanpa perlu membayar satu sen pun. Ini kita tawarkan kepada peniaga di DUN Seri Setia.

Menyentuh Inisiatif Peduli Rakyat (IPR), apakah skim yang mendapat permintaan tertinggi?

Skim IPR paling popular pastinya Kad Peduli Sihat dan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS). Cuma saya ingin jelaskan dulu ramai dapat tetapi kini Kerajaan Negeri hadkan dua hingga tiga tahun sahaja. Tidak lagi boleh memiliki selamanya kerana ramai pihak yang memohon dan belum dapat, jadi beri peluang kepada orang lain. Kalau ikut jumlah yang dapat memang ramai dan yang memohon pun ramai tetapi kuota negeri terhad. Skim Mesra Usia Emas (SMUE) juga mendapat permintaan tinggi. Sehingga kini, jumlah permohonan bantuan yang diterima lebih 5,000 terutama sekali SMUE dan KISS.

[caption id="attachment_521234" align="alignleft" width="429"] Halimey Abu Bakar menyampaikan sumbangan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) di pejabatnya pada 12 April 2022. Foto Halimey Abu Bakar[/caption]

Apakah pula inisiatif sendiri yang YB lakukan untuk membantu penduduk dan membangunkan Seri Setia?

Selama hampir 10 tahun menjadi ahli majlis Zon 24, saya ada mohon pembinaan dewan dan besarkan dewan sedia ada. Alhamdulillah dewan itu sekarang digunakan dengan selesa kerana saiz yang luas serta mempunyai pendingin hawa. Selain itu, saya ada mohon perpustakaan komuniti di Kampung Lindungan dan dijadikan contoh antara yang terbaik di Selangor. Medan selera yang diusahakan juga ada di PJS6 dan kios untuk peniaga kecil turut disediakan di PJS8.

Malah tadika Tamil juga kita sediakan di Kampung Lindungan. Ada beberapa perkara turut kita rancang untuk kawasan Lembah Subang sewaktu HARAPAN menjadi kerajaan persekutuan tetapi pertukaran kerajaan menyebabkan ia dibatalkan. Kita rancang buat pusat tuisyen, perpustakaan dan sebagainya pada waktu itu. Di TTDI Jaya pula terdapat masalah banjir sekitar Taman Mesra dan selepas perbincangan dengan MBSA dan Jabatan Pengairan dan Saliran, ada sembilan pam air atau mengelak banjir.

Penularan wabak Covid-19 menjejaskan ramai pihak, apakah jenis bantuan yang disediakan?

Ketika Covid-19 tempoh hari, kita menyerahkan hampir 1,500 pek bakul makanan mengikut kawasan. Tiga lokasi paling terjejas ialah Desa Mentari, Kampung Lindungan dan Desa Ria dengan hampir 300 orang pada satu-satu masa. Agihan dibuat secara berperingkat. Itu tidak termasuk bantuan kepada mereka yang datang ke pejabat lalu kita beri pek makanan kepada mereka.

Selain itu, anak-anak yang terjejas perlu belajar secara dalam talian kita berikan tablet. Ada juga kita bantu dari segi kewangan bagi mereka yang mendapat rawatan kerana Covid-19. Seramai 100 pelajar sekolah telah terima tablet ini dan bagi mereka yang baru masuk universiti kita bagi sumbangan RM1,000 dan untuk tambah modal beli komputer riba.

Kembali kepada isu banjir, apakah sumbangan dari pihak YB dan berapa pula yang terima Bantuan Selangor Bangkit (BSB)?

Kawasan terlibat ialah Taman Mesra sebanyak 105 rumah, TTDI Jaya pula 120 rumah. Selain bantuan Kerajaan Negeri dan persekutuan, kita ada berikan bakul makanan dan dapur gas. Kita juga masak dan agih makanan kepada penduduk yang terlibat. Untuk BSB pula, antara 250 hingga 300 isi rumah mendapat manfaat.

[caption id="attachment_521235" align="alignright" width="440"] Halimey Abu Bakar menyampaikan sumbangan lampin bayi kepada mangsa banjir di Pangsapuri Jaya TTDI Jaya pada 24 Disember 2021. Foto Halimey Abu Bakar[/caption]

Kita sentuh pula isu politik. Apakah pandangan YB mengenai perpecahan pembangkang hingga muncul parti baharu? Adakah ia menjejaskan sokongan di Selangor dan kelebihan buat Umno?

Umno tidak akan kuat kalau pembangkang kuat. Kalau tanya saya, kita mesti ada suatu kesepakatan antara pembangkang. Kita hadapi pilihan raya Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor yang kita tengok Umno tidak kuat mana tetapi mereka kuat kerana pembangkang tidak kuat, tiada muafakat dan kerjasama yang erat. Saya sarankan pembangkang capai persepakatan yang lebih baik lagi. Tujuan kita hanya satu sahaja iaitu menumbangkan kleptokrasi. Umno, Barisan Nasional (BN) perlu ditumbangkan sebab kita tahu parti ini telah jatuh tetapi diangkat semula.

Pembangkang perlu sepakat dan kali ini saya harap pemimpin semua jangan terperangkap dan tersilap langkah. Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali seperti yang kita kena sebelum ini. Mungkin ada cara lebih baik lagi untuk kesepakatan antara pembangkang ini, Insya-Allah kalau pembangkang kuat, Umno dan BN tidak akan memerintah negara lagi selepas ini.

Berapakah jumlah pengundi di Setia Setia dan jangkaan tambahan susulan Undi 18 selain kaedah bagi menarik sokongan mereka?

Kita mempunyai hampir 55,000 pengundi dan bila ada pertambahan undi dari 18 tahun, maknanya Seri Setia akan menjadi 78,000. Saya kira ini pertambahan anak-anak muda berusia 18 tahun ke atas dan mereka yang baru kali pertama mengundi. Kaji selidik pihak saya sendiri antara kawasan yang paling ramai anak muda ialah Kampung Lindungan, Desa Ria, Lembah Subang iaitu kawasan miskin bandar dengan mereka ini tinggal bersama keluarga. Di kawasan pertengahan dan atasan iaitu Ara Damansara, TTDI mungkin ada tetapi tidak seramai kawasan miskin bandar.

Jika tanya saya mengenai golongan ini, fokus lebih diberi kepada mereka yang kali pertama mengundi. Contoh sebelum ini had kelayakan mengundi 21 tahun tetapi golongan berusia 20 tahun sebelum ini tidak pernah mengundi dan sekarang ini mereka berusia 22, 23 tahun. Peringkat umur inilah peranannya lebih peka kepada keadaan politik sekarang berbanding 18 tahun yang baru melepasi sekolah dan kenal politik negara kita. Saya lebih suka fokus kepada mereka yang berumur 20 tahun ke atas.

Kita mengadakan pelbagai program bagi mendekati golongan ini seperti melalui penganjuran e-sukan dan penyertaan amat menggalakan. Kita juga buat 'fun ride' (kayuhan santai) dan alhamdulillah penyertaannya 200 orang pada bulan lepas. Kita juga dalam perancangan buat program bersama anak muda selepas Ramadan ini. Apa yang ingin kita buat, kita bawa mereka ke beberapa tempat seperti bagaimana mahu menoreh getah, menjadi nelayan dan mengetahui kesukaran yang dihadapi ibu bapa dahulu untuk mencari rezeki.

[caption id="attachment_521236" align="alignleft" width="390"] Gotong royong dan memasak bersama penduduk Desa Mentari pada 20 Mac 2022. Foto Halimey Abu Bakar[/caption]

Jika terus diberi peluang, apa perancangan YB untuk Seri Setia terutama masalah yang berbangkit?

Di TTDI Jaya masalah utamanya adalah sungai yang dikatakan punca banjir, penduduk sering mengadu minta masalah air melimpah ini diselesaikan segera. Begitu juga Taman Mesra, ini juga masalah sungai dan semua isu ini setiap kali sidang DUN saya bawa sehingga ia diselesaikan. Selain masalah lampu isyarat '199' bagi siapa yang tahu, ia ialah lampu isyarat paling lama dalam Malaysia. Memang tiada penyelesaian kata EXCO selagi tidak dibuat jejambat.

Untuk kes jenayah pula alhamdulillah semakin berkurangan. Perkara paling penting buat kerja. Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim banyak kali pesan pada kami, perkara paling penting ialah khidmat kita pada masyarakat. Jalankan tanggungjawab, jalankan kepercayaan yang diberi rakyat dan Insya-Allah kita tawakal, serahkan kepada Allah.

Tanggungjawab ini tugas penting dan bukan mudah melakukannya kalau tiada usaha dan minat dari dalam diri sendiri. Jadi bagi saya, saya serahkan kepada Allah atas usaha saya lakukan, atas pucuk pimpinan parti sekiranya saya dipilih saya akan lakukan dengan lebih baik lagi. Jika diberi peluang oleh parti, saya nak tempat saya dibesarkan iaitu di DUN Seri Setia juga. Ini tempat saya dibesarkan, bermain, kenal dunia dan inilah tempatnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.