ADN

Wakil rakyat Selangor anjur rumah terbuka, rai penduduk sempena Syawal 

4 Mei 2022, 9:00 AM
Wakil rakyat Selangor anjur rumah terbuka, rai penduduk sempena Syawal 

SHAH ALAM, 4 MEI: Wakil rakyat Selangor akan menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri bagi meraikan penduduk beragama Islam di kawasan mereka.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia Halimey Abu Bakar berkata acara itu dijangka diadakan pada 15 Mei dengan cadangan lokasi penganjuran di Desa Mentari dan Kampung Lindungan.

Menurutnya tujuh ahli majlis di kawasan Seri Setia turut bekerjasama menyediakan juadah untuk disajikan kepada pengunjung pada hari berkenaan.

"Setelah dua tahun tidak dianjurkan, program ini memberi peluang untuk kita bertemu, bermaaf-maafan dan mengeratkan kembali silaturahim bersama penduduk yang selama ini banyak membantu di Seri Setia.

"Pada masa sama, ekonomi peniaga kecil dapat ditingkatkan kerana mereka akan dipelawa untuk membuka gerai pada hari tersebut sekali gus mempromosikan makanan dan masakan mereka kepada orang awam," katanya kepada Selangorkini.

Bagi ADN Bukit Lanjan Elizabeth Wong, rumah terbuka turut diadakan pada tarikh sama di Dewan Damansara Damai dengan sasaran antara 1,000 hingga 2,000 pengunjung.

Beliau berkata pengunjung akan dihidangkan dengan aneka juadah disediakan penduduk di setiap blok pangsapuri sekitar dewan terbabit dengan peruntukan yang disediakan.

"Ini adalah kali pertama kita dapat mengadakan majlis hari raya bersama penduduk. Malah Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari dijangka hadir sebagai tetamu jemputan.

"Diharap malam tersebut menjadi satu jamuan yang meriah dan ceria untuk semua," katanya.