ad
AGENSI

Selangor destinasi pilihan pelancong China lima tahun berturut-turut

4 Mei 2022, 5:00 AM
Selangor destinasi pilihan pelancong China lima tahun berturut-turut
Selangor destinasi pilihan pelancong China lima tahun berturut-turut

SHAH ALAM, 4 MEI: Selangor menjadi destinasi paling digemari pelancong China untuk tempoh lima tahun berturut-turut sejak 2017 hingga tahun lepas.

Ketua pegawai eksekutif Tourism Selangor berkata pengembara dari negara itu menyumbang 26 peratus daripada jumlah keseluruhan ketibaan pelancong asing ke negeri ini pada 2021.

Azrul Shah Mohamad memaklumkan pelawat dari Singapura pula mencatat kehadiran kedua tertinggi dengan lapan peratus diikuti Jepun (tujuh peratus), manakala 59 peratus pelancong domestik.

"Kebanyakan pelancong dari negara berkenaan datang ke Selangor (sebelum pandemik Covid-19) untuk bercuti selain menerima rawatan kesihatan dan perubatan.

[caption id="attachment_519660" align="alignright" width="354"] Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad[/caption]

"Namun, kita akui pasaran pelancongan China adalah penyumbang utama kepada industri ini di Selangor. Kita akan cuba mengekalkan momentum positif ini," katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu, Azrul Shah berkata jumlah ketibaan pelancong asing ke Selangor dalam peralihan ke fasa endemik hanya akan diperoleh pada suku ketiga 2022.

"Kita tidak dapat menjangkakan berapa jumlah pelancong, namun sudah pasti agak sukar untuk mendapat semula angka diraih tahun sebelum negara dilanda Covid-19," katanya.

Pada 2018, Selangor mencatat 7.3 juta pelancong dengan 3.2 juta daripadanya adalah pelawat antarabangsa dari China, Jepun dan Eropah.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.