ad
AGENDA

Menjelang Syawal, KDEBWM sedia khidmat kutipan sampah pukal percuma

28 Apr 2022, 1:42 AM
Menjelang Syawal, KDEBWM sedia khidmat kutipan sampah pukal percuma

SHAH ALAM, 28 APRIL: KDEB Waste Management (KDEBWM) menawarkan kutipan sampah pukal secara percuma kepada masyarakat Islam di negeri ini sempena Aidilfitri.

Pengarah Urusannya Ramli Mohd Tahir berkata perkhidmatan tersebut disediakan seminggu sebelum Syawal bagi memudahkan penduduk membuang sisa seperti perabot.

“Penduduk muslim boleh kumpul mana-mana sampah pukal yang ingin dilupuskan di luar rumah mereka dan petugas pembersihan akan kutip sisa tersebut tanpa dikenakan sebarang cas.

“Cuma kita harap sisa tersebut tidaklah terlalu banyak bagi satu-satu rumah supaya ada ruang untuk jiran-jiran lain berbuat perkara sama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa bersama 57 pengamal media di Pusat Konvensyen Shah Alam dekat sini, malam tadi.

Ramli menambah sampah berkenaan akan dikutip di sesebuah lokasi mengikut jadual yang ditetapkan.

“Contohnya di kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kita sudah letak tong Roll On Roll Off (RORO) di setiap taman supaya memudahkan penduduk melupuskan apa-apa barang terpakai,” katanya.

Perkhidmatan itu boleh dimohon dengan menghubungi talian bebas tol KDEBWM di 1-800-88-2824 atau muat turun aplikasi iClean Selangor melalui PlayStore atau google play.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.