ad
AGENDA

Sze Fei-Nur Izzuddin ke akhir Terbuka Switzerland, hampiri kejuaraan kedua

27 Mac 2022, 3:18 AM
Sze Fei-Nur Izzuddin ke akhir Terbuka Switzerland, hampiri kejuaraan kedua

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Pasangan beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani berjaya menempah tiket ke pusingan akhir Kejohanan Terbuka Switzerland 2022 di Basel.

Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di St Jakobshalle awal pagi tadi, Sze Fei-Nur Izzuddin membenam beregu Indonesia Pramudya Kusumawardana-Yeremia Erich Yoche Yakob Rambitan 21-18, 21-18.

Di set pertama, bekas juara Kejohanan Terbuka Jerman 2022 itu diikat lebih awal dengan mata 6-6 oleh beregu Indonesia sebelum Sze Fei-Nur Izzuddin berjaya mendominasi perlawanan dengan mencatat kemenangan 21-18.

Kedua-dua pasangan saling mengejar mata sehingga terikat 14-14 sebelum pasangan beregu negara yang menjadi pilihan kelapan kejohanan melengkapkan kemenangan bersih 21-18 di set kedua.

Sze Fei-Nur Izzuddin dijadual bertemu beregu pilihan keempat kejohanan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia di pentas akhir yang akan berlangsung 11 pagi waktu tempatan (5 petang waktu Malaysia) hari ini.

Sementara itu, pasangan beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut beraksi di perlawanan akhir dan akan membuat perhitungan bersama pasangan Mark Lamsfuss-Isabel Lohau dari Jerman.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.