ad
AGENDA

Kerajaan sasar kedatangan dua juta pelancong tahun ini

17 Mac 2022, 12:44 AM
Kerajaan sasar kedatangan dua juta pelancong tahun ini

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan kedatangan dua juta pelancong ke Malaysia pada tahun ini dengan keuntungan melebihi RM6.8 bilion.

Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata ini susulan pengumuman kerajaan berhubung pembukaan semula sempadan negara pada 1 April ini yang diharapkan dapat merancakkan industri pelancongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Untuk pelancong dalam negara pula, kita masih belum ada sasaran sebab tahun 2019, kita dapat RM103 bilion bagi pelancongan domestik. Jadi kita mengharapkan sekurang-kurangnya dalam 50 peratus keuntungan walaupun agak sukar untuk capai (keuntungan) macam 2019," katanya menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat semalam.

Sebelum ini dilaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan negara akan memasuki Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ serta pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April depan.

Sementara itu, bercakap pada sidang media selepas sesi penggulungan itu, Nancy berkata MOTAC memperuntukkan RM50 juta bagi Geran Padanan Pelancongan, Seni dan Budaya (GPPSB) merangkumi Geran Sepadan Sektor Pelancongan (GSSP) dan Geran Sepadan Sektor Kebudayaan (GSSK).

Beliau berkata kedua-dua geran itu adalah untuk menyemarak dan merancakkan semula sektor pelancongan dan kebudayaan yang terjejas teruk susulan penularan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lepas.

Selain itu, menurutnya ia dapat membantu pemain industri terus berdaya saing mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan selamat untuk dikunjungi serta dapat merangsang ekosistem kesenian dan kebudayaan negara.

GSSP memberi fokus ke atas penganjuran program atau acara domestik dan antarabangsa apabila pintu sempadan dibuka semula manakala GSSK pula memberi fokus kepada penganjuran seni dan budaya yang berimpak tinggi.

“Permohonan untuk kedua-dua geran ini boleh dikemukakan bermula 1 April ini dan sebarang maklumat lanjut boleh layari laman sesawang www.tourism.gov.my,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.