ad
AGENSI

Padat kerjasama dengan MPKS naik taraf Tugu Peringatan Perang Kuala Selangor

16 Mac 2022, 10:01 AM
Padat kerjasama dengan MPKS naik taraf Tugu Peringatan Perang Kuala Selangor

SHAH ALAM, 16 MAC: Tugu Peringatan Perang Kuala Selangor bakal dinaik taraf bagi mengabadikan jasa tujuh wira berasal dari negeri ini yang terkorban akibat perang berkenaan.

Kurator Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) Intan Salina Idrus berkata cadangan itu bakal dilaksana dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).

"Inisiatif ini bertujuan mengabadikan jasa mereka yang terkorban dalam perang dunia kedua di negeri ini sekitar tahun 1939 sehingga 1945," katanya.

Intan Salina berkata demikian ketika ditemui pada Program Wacana dan Pengkisahan Tugu Peringatan Perang Kuala Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata Padat juga menyeru semua agensi membantu pihaknya mengesan waris tujuh pahlawan berkenaan bagi mendapatkan maklumat latar belakang wira tersebut.

"Tujuh wira Melayu yang difahamkan berasal dari Kuala Selangor dan sebahagiannya merupakan askar sukarelawan dari Federated Malay States Volunteer (FMSVF).

"Selepas dapat maklumat, kita boleh letak nama dan latar belakang mereka pada tugu tersebut sekali gus menjadi sebahagian produk pelancongan di daerah ini," katanya.

Berikut nama wira untuk diabadikan di Tugu Medan Perwira:

- Abdul Rani Malhmudin

- Busu Kussin

- Idrus Mohd Yunus

- Ismail Mat

- Napi Ahmad

- Sulong Sudin

- Zakaria Mat Yuda

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.