ADN

Baucar Jom Shopping ringan beban sedia keperluan Tahun Baharu Cina

22 Jan 2022, 11:55 PM
Baucar Jom Shopping ringan beban sedia keperluan Tahun Baharu Cina

KUALA SELANGOR, 23 JAN: Sebanyak 450 baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina diagih kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati sempena perayaan itu bulan depan.

Wakil rakyatnya Juwairiya Zulkifli berkata bantuan RM100 yang boleh digunakan di pasar raya Lotus Kuala Selangor dapat meringankan beban penerima menyediakan keperluan raya.

Jelasnya, baucar khusus buat penduduk berpendapatan rendah (B40), orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan ibu tunggal sah digunakan mulai semalam hingga hujung bulan ini.

“Penerima juga diberikan buah limau sebagai simbolik perayaan. Kita harap semua menjaga tatacara operasi piawai (SOP) ketika raya nanti bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19,” katanya.

Juwairiya yang ditemui selepas menyerahkan baucar berkenaan semalam turut mengagihkan bantuan daripada Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor sebanyak RM100 kepada 30 penerima.

Jom Shopping Raya diperkenalkan Kerajaan Negeri yang menyasar golongan B40 sebagai inisiatif jangka panjang bagi membela kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Serahan bantuan dibuat melalui pusat khidmat masyarakat di kawasan masing-masing mengikut komponen utama kaum dan sambutan perayaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.