ad
AGENDA

SIBS 2021: Teh hijau Fyllo daun kelapa sawit tarik perhatian pengunjung 

20 Nov 2021, 4:50 AM
SIBS 2021: Teh hijau Fyllo daun kelapa sawit tarik perhatian pengunjung 

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Keunikan produk minuman teh hijau, Fyllo diperbuat menggunakan daun kelapa sawit menarik perhatian pengunjung ke gerai pameran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Menawarkan kebaikan untuk kesihatan, teh hijau itu dihasilkan dengan kebaikan lima antioksidan dan 54 mineral yang memberi kebaikan untuk kesihatan, kata Pengarah Urusan Fyllo (M) Sdn Bhd.

"Antara kelebihan teh hijau daun kelapa sawit ini ialah membantu mencegah kanser, melindungi buah pinggang dan hati, meningkatkan daya ingatan dan melindungi sistem saraf.

"Selain itu, kebaikan teh hijau ini juga sesuai untuk individu yang menghidap gastrik kerana tiada kandungan tanin seperti dalam teh lain," kata A.Tiruselvan kepada SelangorKini.

Sementara itu, beliau merupakan peserta skim ‘Zero to Hero’ Hijrah Selangor (HIJRAH) menyifatkan SIBS 2021 memberi ruang mengkomersialkan produknya ke pasaran tempatan dan antarabangsa.

"Salah seorang pengunjung dari China telah menyatakan minat untuk membawa produk ini ke negaranya. Malah, menerusi program ini orang ramai juga mula mengenali teh hijau ini dan manfaatnya.

"Selain teh hijau, antara produk keluaran lain ialah sabun menggunakan daun kelapa sawit dan penyembur antioksidan yang sesuai untuk perlindungan kulit dan alahan," katanya.

Semalam, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli merasmikan SIBS 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

DYTM Tuanku mewakili Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj merasmikan sidang kemuncak yang berlangsung sehingga 21 November secara hibrid dan fizikal.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.