ad
AGENDA

Jais syor terus pujuk kumpulan agama yakin terima vaksin

27 Sep 2021, 8:14 AM
Jais syor terus pujuk kumpulan agama yakin terima vaksin

SHAH ALAM, 27 SEPT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengemukakan cadangan bagi memujuk kumpulan agama yang menolak untuk divaksin dalam sesi menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada minggu ini.

Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata langkah itu bagi mengelak guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), ahli jawatankuasa masjid serta jurunikah terbabit dikenakan tindakan.

“Kita akan kemukakan cadangan ke arah positif dan pujuk mereka menerima vaksin, kalau hendak hukum sudah lama keluarkan surat tindakan.

“Tetapi kalau mereka tidak mahu juga, kita akan terus ambil tindakan,” katanya ditemui media di sini, hari ini.

Pada 22 September lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan kekecewaan apabila dimaklumkan seramai 96 individu dalam kalangan guru Kafa, ahli jawatankuasa masjid dan jurunikah menolak untuk divaksin.

Baginda juga kecewa apabila hanya 203 individu sertai program vaksinasi khas Covid-19 untuk petugas Jais sedangkan seramai 873 orang diarahkan hadir.

Baginda bertitah akan meneliti nama individu yang memutuskan untuk tidak divaksin dan satu ketetapan berhubung tindakan yang akan diambil terhadap mereka bakal ditentukan kelak.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.