ad
BERITA UTAMA

MPSepang pasang CCTV, siar pengebumian jenazah mangsa Covid-19

28 Ogos 2021, 4:17 AM
MPSepang pasang CCTV, siar pengebumian jenazah mangsa Covid-19

SHAH ALAM, 28 OGOS: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) memasang kamera litar tertutup (CCTV) di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Baqi’, Cyberjaya bagi membolehkan waris mangsa Covid-19 menyaksikan upacara pengebumian.

Yang Dipertua Dato’ Abd Hamid Hussain berkata proses berkenaan disiarkan secara langsung di Facebook majlis berkenaan sejak 7 Ogos dengan beberapa sesi siaran sehari.

Jelasnya, pemasangan dibuat selepas melihat ramai waris tidak boleh merentas negeri untuk melihat jenazah ahli keluarga buat kali terakhir.

“Hampir setiap hari kes kematian akibat wabak dilaporkan. Kehilangan orang tersayang pastinya meninggalkan kesan mendalam kepada sesiapa sahaja.

“Keluarga terpaksa menaruh sepenuh kepercayaan kepada pasukan perubatan untuk menyempurnakan pengebumian,” katanya menerusi perutusan mesyuarat ahli majlis semalam.

Menurutnya, setiap sesi mendapat tontonan antara 70 hingga 100 pelayar.

“Semoga usaha seperti ini dapat mengurangkan suasana pilu dan kesedihan kerana ahli keluarga berpeluang melihat rakaman perjalanan terakhir jenazah Covid-19,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.