AGENDA

MB: 12 lokasi laksana pemberian Vaksin Selangor secara terus

31 Jul 2021, 2:31 PM
MB: 12 lokasi laksana pemberian Vaksin Selangor secara terus

SHAH ALAM 31 JULAI: Pemberian suntikan vaksin Covid-19 secara terus melalui program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti dilaksanakan di 12 Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula 2 Ogos ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelaksanaan secara terus di DUN terlibat bagi mempermudah proses vaksinasi.

“Setiap satu pusat pemberian vaksin (PPV) di DUN berkenaan akan diperuntuk sebanyak 1,300 suntikan sehari dengan jangkaan dua hari untuk setiap DUN.

“Diharap usaha ini akan memperlengkap Operasi Lonjakan Kapasiti yang sedang digerakkan di Greater Klang Valley,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada 30 Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Program itu bakal memanfaatkan 1.25 juta penduduk di Selangor yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.

Berikut adalah PPV terlibat:

1. Dewan Banting Baru, Morib

2. Dewan Pandan Indah

3. Dewan Majlis Bandar Baru, Kuala Selangor

4. Dewan Dato’ Abdul Hamid, Batang Kali

5. Dewan Sekolah Cina, Ijok

6. Dewan Orang Ramai Hulu Bernam

7. Dewan Seri Siantan, Selayang

8. Dewan Sri Cempaka Kajang

9. Dewan Eng Ann, Klang

10. Dewan Komuniti Putra Perdana, Dengkil

11. Dewan MRSM Sungai Besar

12. Dewan MPAJ AU5, Ampang