AGENDA

Polis kompaun pelanggan pusat hiburan gagal patuh SOP

9 Jan 2021, 3:20 PM

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Seramai 37 pelanggan sebuah pusat hiburan yang sedang leka berhibur dan meminum minuman keras dikompaun RM1,000 setiap seorang kerana gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19 di Seksyen 19, Petaling Jaya, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata pelanggan yang terdiri daripada 17 lelaki dan 20 wanita berusia lingkungan 20 tahun sehingga 56 tahun itu dikompaun selepas polis membuat pemeriksaan ke dalam bilik-bilik di premis terbabit pada kira-kira 8.50 malam.

Beliau berkata mereka dikompaun mengikut Seksyen 13 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Langkah-Langkah Di Dalam Tempatan Jangkitan 2020) kerana tidak mematuhi SOP ditetapkan kerajaan.

“Polis turut menahan pengurus premis itu iaitu lelaki warga tempatan berusia 36 tahun kerana gagal mengemukakan lesen pusat hiburan yang sah dan tidak mempunyai lesen menjual minuman keras serta dibebaskan dengan jaminan polis.

“Selain itu, polis merampas 23 botol arak pelbagai jenama, peralatan audio, bil tunai dan wang tunai berjumlah RM4,250 manakala kes disiasat mengikut Seksyen 76 Akta Eksais 1976, Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.