AGENDA

Kawasan pinggir, hilir Sungai Pahang dijangka terus terjejas banjir

9 Jan 2021, 12:23 AM
Kawasan pinggir, hilir Sungai Pahang dijangka terus terjejas banjir

MARAN, 9 JAN: Banjir di Pahang dijangka berterusan untuk tempoh dua ke tiga hari lagi terutamanya di kawasan pinggir dan hilir Sungai Pahang susulan trend air yang dilaporkan mula turun ke kawasan lebih rendah.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata pihaknya menjangkakan lebih banyak mangsa banjir akan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) dalam tempoh terdekat.

"Jika kita perhatikan kawasan di bahagian hulu (sungai) mula surut dan air menurun ke kawasan hilir pula. Kita jangka dalam dua tiga hari, jumlah mangsa banjir misalnya di kawasan Chenor dan Luit khususnya di pinggir sungai akan meningkat," katanya kepada Bernama ketika melawat mangsa banjir di sini semalam.

Beliau turut menasihati penduduk di kawasan berhampiran sungai yang belum terjejas agar lebih bersedia dengan kemungkinan berlaku limpahan air sungai itu seterusnya mengakibatkan banjir.

Dalam pada itu, Shahaniza yang juga Ketua UMNO Bahagian Maran berkata banjir yang melanda daerah itu adalah terburuk berbanding 2014.

"Pekan Maran kali ini lebih teruk terkesan dan kita risau juga jika keadaan bertambah buruk dengan keadaan cuaca yang tidak menentu," katanya.

Sehingga petang semalam, sebanyak 37 PPS dibuka di daerah itu yang menempatkan 4,192 mangsa banjir.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.