AGENSI

KKM: Dua kluster lagi dikesan, satu babit tempat kerja

13 Dis 2020, 1:00 PM
KKM: Dua kluster lagi dikesan, satu babit tempat kerja

SHAH ALAM, 13 DIS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan dua kluster baharu di Selangor termasuk satu jangkitan tempat kerja.

Ketua pengarah kesihatan berkata Kluster Tanjung Suria membabitkan pekerja dua kilang dan jangkitan dikesan di Sepang, Gombak, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

“Kes awal dilaporkan bermula 7 Disember lalu menerusi ujian saringan bersasar di tempat kerja. Setakat hari ini 8,480 individu sudah disaring, 31 disahkan positif,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi kluster kedua, Kluster Lestari sebanyak 31 kes positif dikesan sekitar Petaling, Hulu Langat, Klang dan Sepang selain Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

“Kluster ini berkaitan dengan kumpulan berisiko tinggi. Kes ke-74,963 merupakan kes indeks yang dilaporkan positif pada 8 Disember hasil saringan individu bergejala.

“Kes kemudian dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Sehingga hari ini, seramai 351 individu disaring dan 31 sah positif,” katanya.