AGENDA

Pegawai di sempadan Thailand diarah perketat kawalan bendung Covid-19

4 Dis 2020, 1:10 PM
Pegawai di sempadan Thailand diarah perketat kawalan bendung Covid-19

BANGKOK, 4 DIS: Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha mengarahkan gabenor di setiap wilayah memperketat kawalan keselamatan di sempadan masing-masing untuk menyekat kemasukan pendatang tanpa izin bagi membendung penularan Covid-19.

Jurucakap kerajaan Anucha Burapachaisri berkata perdana menteri mengeluarkan arahan itu berikutan mereka yang masuk secara haram dengan melintasi sempadan Thailand-Myanmar didapat menjadi antara penyumbang kepada penularan kes jangkitan di Chiang Rai dan wilayah lain.

Pegawai berkaitan termasuk polis imigresen mesti menguatkuasakan peraturan yang ada dan mengambil tindakan tegas terhadap migran haram dan mana-mana pegawai didapati terbabit dalam salah laku ketika menjalankan tugas akan dikenakan tindakan, kata Anucha.

Arahan itu bertujuan meningkatkan keyakinan masyarakat bahawa kerajaan serius menangani pandemik ini, katanya lapor Agensi Berita Thailand (TNA).

"Orang ramai tidak perlu panik mengenai perkara itu. Mereka yang ingin kembali ke Thailand boleh menghubungi pegawai meskipun keluar secara tidak sah.

"Semasa hendak kembali, mereka harus menjalani prosedur pemeriksaan dan kuarantin untuk mencegah gelombang kedua penyakit ini.

"Saya mahu semua berikan kerjasama. Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai individu tidak dikenali yang boleh beri risiko jangkitan perlu memaklumkannya kepada pihak berkuasa," ujar beliau.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.