ad
AGENSI

PTGS: Kakitangan positif Covid-19, aras LG ditutup sementara

4 Dis 2020, 10:50 AM
PTGS: Kakitangan positif Covid-19, aras LG ditutup sementara

SHAH ALAM, 4 DIS: Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) menutup sementara operasi di aras tanah (LG) berikutan seorang kakitangannya disahkan positif Covid-19 kelmarin.

Jabatan itu dalam kenyataan memaklumkan penutupan bermula semalam sehingga 9 Disember ini bagi operasi nyahkuman dan pembersihan premis terlibat mengikut tatacara operasi piawai (SOP).

Menurutnya, kakitangan di Bahagian Pendaftaran didapati positif hasil saringan kontak rapat dilaksanakan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat dan kini sedang menerima rawatan lanjut.

"Siasatan awal mendapati petugas tersebut diarahkan hadir ujian itu pada 30 November. Beliau berkemungkinan dijangkiti daripada ibu mertua yang disahkan positif Covid-19 pada 28 November," katanya hari ini.

PTGS menambah 23 kakitangan yang mempunyai kontak rapat dikenal pasti dan dikuarantin selama 14 hari serta akan menjalani saringan mengikut PKD masing-masing.

Katanya, sebagai langkah berjaga-jaga seluruh kakitangan aras berkenaan diarah menjalani kuarantin kendiri tujuh hari sepanjang tempoh penutupan premis bergantung kepada keputusan saringan kontak rapat PKD berkaitan.

"Pentadbiran ini menyarankan semua pihak bertenang serta memberikan kerjasama yang baik dan mengamalkan SOP Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"PTGS sentiasa menjalankannya dengan pengesanan suhu, sanitasi, penjarakan fizikal serta penggunaan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan MySejahtera bagi mencegah penularan wabak," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.