AGENSI

Polis terus kesan penghuni Medan 88 belum jalani saringan Covid-19

26 Nov 2020, 12:08 PM
Polis terus kesan penghuni Medan 88 belum jalani saringan Covid-19

SEPANG, 26 NOV: Polis bekerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan untuk mengesan penduduk dan penghuni Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi di sini yang belum membuat ujian saringan Covid-19, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan tersebut tamat tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata difahamkan terdapat kira-kira 200 penduduk dan penghuni di kawasan itu, baik warga tempatan dan asing, yang perlu membuat saringan Covid-19.

Ketika dihubungi Bernama hari ini, beliau berkata tiada individu yang tampil untuk menjalani ujian saringan Covid-19 hari ini.

Sepanjang 14 hari pelaksanaan PKPD di Medan 88 yang bermula 12 November lepas, seramai 965 individu menjalani saringan dan daripada jumlah itu, seramai 12 kes positif Covid-19 dikesan.

Secara keseluruhan, seramai 56 kes positif dikesan di Medan 88 dengan 44 daripadanya dikesan sebelum pelaksanaan PKPD di kawasan itu.

Seramai 138 petugas termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Angkatan Sukarelawan Malaysia, Pejabat Daerah Sepang, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Penerangan, turut menjalani saringan dan keputusannya adalah negatif.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.