AGENSI

MB: RM5.85 juta khusus bagi aktiviti promosi pelancongan

7 Nov 2020, 3:49 PM
MB: RM5.85 juta khusus bagi aktiviti promosi pelancongan

HULU LANGAT, 7 NOV: Peruntukan RM5.85 juta untuk sektor pelancongan di Selangor bertujuan membangun dan merancakkan semula aktiviti promosi industri tersebut yang terjejas susulan pandemik Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata dana disediakan menerusi Belanjawan Selangor 2021 khusus untuk perkara berkaitan dan tidak termasuk perbelanjaan mengurus yang diurus sepenuhnya oleh Tourism Selangor.

“Kalau aspek mengurus, kita memang ada agensi tersendiri iaitu Tourism Selangor malah jumlah (peruntukan) yang disebutkan (semasa belanjawan) adalah bagi promosi pelancongan sahaja,” kata Dato' Seri Amirudin Shari kepada media selepas program lawatan pasca banjir di Taman Sri Nanding di sini hari ini.

Beliau mengulas persoalan dibangkitkan Persatuan Pengembaraan Dan Agensi Pelancongan Selangor (SAFTTA) yang menyifatkan peruntukan terbabit sebagai kecil dan tidak memadai membangun serta merancakkan semula industri pelancongan Selangor.

Amirudin seterusnya berkata kerajaan Persekutuan diminta membuat keputusan sama seperti kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) sebelum ini dengan memulangkan kembali 50 peratus daripada cukai pelancongan.

Menurutnya, langkah itu bagi membolehkan Kerajaan Negeri menaik taraf beberapa projek dan lokaliti pelancongan di Selangor.

“Tahun ini, kita ada RM10 juta iaitu jumlah daripada cukai pelancongan RM20 juta dikembalikan PAKATAN kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.