SHAH ALAM, 30 OKT: Bagi membantu peniaga kecil dan penjaja yang baharu menceburi bidang keusahawanan, Kerajaan Negeri akan memperkenalkan satu inisiatif khas pada tahun 2021 dikenali Niaga Darul Ehsan (NaDi).
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata melalui NaDi, pemohon hanya perlu memohon lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menjalankan aktiviti perniagaan tanpa perlu mengemukakan sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Katanya, mereka layak memohon pinjaman serendah RM1,000 sehingga RM3,000 tanpa perlu memiliki premis tetap seperti perniagaan dalam talian.
"Namun, peniaga-peniaga ini masih perlu mendapatkan sijil SSM dalam tempoh enam bulan. Jika mereka gagal mendapatkan sijil SSM dalam tempoh tersebut, maka lesen PBT mereka tidak akan diperbaharui,” katanya dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di sini.


