SHAH ALAM, 30 OKT: Kerajaan Negeri memperuntuk RM579 juta bagi program penggantian paip usang bermula tahun ini sehingga 2022.
Dato' Menteri Besar berkata setakat ini sebanyak 303 kawasan titik panas (hotspot) merangkumi 716 kilometer (km) paip dikenal pasti untuk pembaikan.
Dato' Seri Amirudin Shari menjelaskan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) turut menyasar penggantian paip usang dengan nisbah 150km paip setahun.
"Kos yang telah dibelanjakan bagi 2016 hingga 2019 adalah sebanyak RM529 juta dan bagi tahun 2020 hingga 2022 sebanyak RM579 juta," katanya dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di sini.
Amirudin berkata kerja penggantian paip utama dianggar sepanjang 6,000km di seluruh negeri, termasuk Putrajaya dan Kuala Lumpur bagi mencapai kadar air tidak berhasil kepada 25 peratus dalam tempoh lima tahun.
Usaha lain bagi pembangunan projek bekalan air ialah:
-Pembangunan Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang Fasa 2 dan LRA Sungai Rasau
-Peruntukan RM40 juta Skim Air Darul Ehsan (SADE)
-Suntikan dana RM1 juta untuk meneruskan inisiatif Friends of River (FoR)


