SHAH ALAM, 30 OKT: Duti hiburan negeri ini dikurangkan dari 25 kepada 15 peratus, mengambil kira kesan pandemik Covid-19 yang menjejaskan penggiat seni.
Dato' Menteri Besar berkata pengurangan itu khusus bagi penganjuran aktiviti kesenian atau pementasan bertiket artis-artis tempatan.
"Dengan langkah ini, diharap dapat membantu penggiat seni tempatan dalam meningkatkan produktiviti, kualiti serta daya saing mengatasi artis luar negara," kata Dato' Seri Amirudin Shari dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di sini.
Beliau berkata Pusat Penciptaan Kandungan bakal diwujud untuk meneroka bidang industri kreatif yang mempunyai potensi besar dalam pembangunan ekonomi.
Amirudin menjelaskan langkah tersebut berikutan Selangor merupakan tuan rumah kepada pelbagai studio animasi bertaraf dunia seperti Wau Animation dan Les Copaque.
"Ditambah lagi dengan kewujudan universiti berlatarkan latihan multimedia seperti Universiti Multimedia (MMU) dan lain-lain, seluruh ekosistem kandungan wajar diperkemaskan dengan pemadanan antara bakat sedia ada dengan pasaran," katanya lagi.
"Jadi, Kerajaan bercadang untuk bergiat lebih aktif dalam memperkaya industri kreatif dengan pemerkasaan Yayasan Seni Selangor melalui kerjasama pintar dengan agensi digital lain seperti Malaysia Digital Economy Corporation dan Seri Iskandar Development Corporation."
Amirudin menambah sejumlah RM1 juta turut diperuntuk bagi program Bakat Muda Selangor merangkumi seni lukis, muzik dan sastera.


