SHAH ALAM, 30 OKT: Kerajaan Selangor menubuhkan Majlis Wanita Selangor (Manis) bagi memperteguh agenda martabat wanita di negeri ini.
Dato' Menteri Besar berkata Manis menjadi platform menghimpunkan agensi dan badan bukan kerajaan untuk merangka dasar pemberdayaan wanita meliputi ekonomi, sosial, politik dan budaya.
Dato' Seri Amirudin Shari pada pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di sini hari ini berkata sebanyak RM71.3 juta diperuntuk bagi meneruskan agenda berkaitan memperkasa wanita dan keluarga.
Daripada jumlah itu, beliau berkata sebanyak RM1.8 juta diberi kepada Institut Wanita Berdaya untuk menjalankan program mengarus perdana gender peringkat negeri.
Katanya, sebanyak RM3 juta juga diperuntuk kepada Pusat Wanita Berdaya Selangor bagi membangunkan Hab Wanita Berdaya Selangor bagi membela wanita berpendapatan rendah dan ibu tunggal.
“Hab ini akan dibangunkan dengan kerjasama strategik dengan pebagai agensi dan badan kerajaan untuk menjadi tumpuan aktiviti ekonomi dan pembangunan usahawan wanita,” katanya.


