AGENSI

Dana Inovasi Selangor sokong syarikat pemula teknologi

30 Okt 2020, 8:25 AM
Dana Inovasi Selangor sokong syarikat pemula teknologi

SHAH ALAM, 30 OKT: Dana awalan RM100 juta diperuntuk bagi pelaksanaan program Dana Inovasi Selangor bagi menyokong usaha perkembangan syarikat pemula yang strategik.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif itu akan mengenal pasti syarikat teknologi yang berpotensi untuk menerima pelaburan modal teroka.

"Inisiatif ini berpotensi sebagai pendokong kepada Pakej Rangsangan Ekonomi Ketiga dengan golongan sasaran adalah syarikat pemula yang boleh membawa masuk teknologi terkini.

"Usaha ini bagi memacu transformasi Negeri Pintar 2025 dan menjana enjin pertumbuhan ekonomi baru negeri Selangor," kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021 di sini hari ini.

Beliau berkata langkah tersebut dijangka bakal melengkapi inisiatif latihan usahawan oleh Majlis Teknologi Informasi dan E-Dagang (Sitec) di bawah program Brand 100 yang melahirkan hampir 500 syarikat pemulan sehingga kini.