ad
AGENDA

Pencemaran LRA Rantau Panjang, Sungai Selangor pulih

19 Okt 2020, 11:20 AM
Pencemaran LRA Rantau Panjang, Sungai Selangor pulih

SHAH ALAM, 19 OKT: Tahap bacaan pencemaran di Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang dan Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 telah mencapai 0 TON (nilai bau ambang) petang ini.

Sehubungan itu, Dato' Menteri Besar berkata loji terbabit akan kembali memproses air mentah untuk disalurkan kepada pengguna.

"Alhamdulillah. Saya dimaklumkan tahap bacaan pencemaran di LRA Rantau Panjang dan Sungai Selangor Fasa 1,2 dan 3 telah mencecah 0 TON.

"Oleh itu, loji telah mula beroperasi untuk kerja-kerja pembersihan dan akan mula memproses air mentah bagi kegunaan para pengguna," kata Dato' Seri Amirudin Shari di Facebook.

LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor pada jam 2 pagi tadi.

Insiden itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1.2 juta akaun pengguna di 1,292 kawasan meliputi wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Siasatan awal pakar Air Selangor menemukan bau seakan-akan pelarut.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.