AGENDA

Sapawi pamer aksi sulung bersama Portimonense SC di Portugal

17 Okt 2020, 7:27 AM
Sapawi pamer aksi sulung bersama Portimonense SC di Portugal

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Penyerang skuad kebangsaan Muhammad Safawi Rasid membuat penampilan sulung bersama skuad bawah-23 tahun (B-23) Portimonense SC dalam perlawanan menentang pasukan Sporting Lisbon di Portugal, awal pagi tadi.

Pasukan diwakili pemain berusia 23 tahun yang dipinjamkan oleh Johor Darul Takzim (JDT) itu bagaimanapun tewas 1-3 dalam perlawanan Liga Revelacao B-23 di Stadium Dois Irmaos.

Safawi yang dilaporkan beraksi cemerlang pada sesi latihan dimasukkan sebagai kesebelasan utama pasukan B-23 kelab Portugal itu oleh pengurus Paulo Sergio.

Dalam perlawanan tersebut, Portimonense SC mendahului pada minit ke-18 melalui gol yang dijaringkan pemain dari Brazil Romulo Machado sebelum pemain Sporting Lisbon Rafael Fernandes mengikat kedudukan pada minit ke-28.

Namun dua gol pantas Sporting Lisbon dalam tempoh tiga minit menerusi pemainnya Duarte Carvalho dan Nicolai Skoglund pada babak kedua memaksa Portimonense akur tewas 1-3.

Keputusan itu bagaimanapun tidak menjejaskan kedudukan kedua-dua pasukan dalam Liga Revelacao (zon selatan) dengan Sporting Lisbon kekal di tempat ketiga sementara Portimonense di tangga ketujuh selepas masing-masing mengharungi lima perlawanan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.