AGENDA

Arab Saudi: Kumpulan pertama jemaah mula jalani ibadah umrah

5 Okt 2020, 2:24 AM
Arab Saudi: Kumpulan pertama jemaah mula jalani ibadah umrah

RIYADH, 5 OKT: Selepas enam bulan sekatan akhirnya pada Ahad jemaah mula menjalani ibadah Umrah di Mekah dengan langkah-langkah pencegahan ketat berikutan pandemik Covid-19, lapor agensi berita Xinhua.

Kumpulan jemaah pertama menunaikan Umrah di Mekah dengan langkah berjaga-jaga untuk mencegah penularan Covid-19, tulis Ketua Umum Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi di Twitternya.

Sejak Arab Saudi membuka semula proses permohonan menunaikan Umrah pada 27 September, sejumlah 108,041 permit dikeluarkan pada 1 Oktober, menurut Kementerian Haji dan Umrah.

Sebelum ini, Arab Saudi mengumumkan akan membenarkan semula ibadah Umrah secara bertahap mulai 4 Oktober.

Untuk membendung penularan Covid-19 pada 27 Februari, Arab Saudi menangguhkan kemasukan jemaah asing di Mekah dan Madinah.

Pada 4 Mac, kerajaan turut menangguhkan Umrah untuk rakyat dan penduduk Arab Saudi.

Arab Saudi melaporkan 390 kes baharu dalam 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 336,387, umum Kementerian Kesihatan pada Ahad.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.