AGENDA

Projek rumah Taman Air Manis dijenama semula, siap 2028

15 Sep 2020, 10:46 AM
Projek rumah Taman Air Manis dijenama semula, siap 2028

SHAH ALAM, 15 SEPT: Projek perumahan Taman Air Manis di Sabak Bernam yang tertangguh pembinaan sejak 2011 dijenamakan sebagai Projek Rumah Idaman Taman Air Manis.

Dato' Menteri Besar berkata projek kerjasama antara Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan GSM Sdn Bhd memberi nafas baharu bagi merancakkan pembangunan di kawasan sekitar.

"Rumah Idaman Taman Air Manis menawarkan 222 unit rumah teres setingkat dengan keluasan minimum 1,000 kaki persegi pada harga RM250,000 seunit.

"Keseluruhan projek merangkumi pembangunan bercampur yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2028," kata Dato' Seri Amirudin Shari pada majlis penjenamaan projek tersebut di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini.

Beliau berkata penjenamaan semula itu juga seiring usaha memacu pembangunan ekonomi Anjung Utara negeri dan bukti Kerajaan Selangor tidak mengabaikan kawasan luar bandar.

"Kita akan terus melaksanakan pembangunan di utara negeri dan kawasan luar bandar lain, ini janji kita," kata Amirudin lagi.

Pada 7 Mei 2019, Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan mengadakan pendengaran awam bagi membincangkan projek tersebut.

Projek berkeluasan 10.11 hektar itu berasaskan konsep pembangunan bersepadu merangkumi Rumah Selangorku, premis pejabat, stesen minyak serta pusat penjaja rehat dan rawat (R&R).

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.