AGENDA

Selangor sumbang RM10,000 sokong kayuhan amal anggota bomba

28 Ogos 2020, 12:36 PM
Selangor sumbang RM10,000 sokong kayuhan amal anggota bomba

SHAH ALAM, 28 OGOS: Selangor hari ini menyumbang RM10,000 bagi menyokong misi kayuhan amal seorang anggota bomba bermula awal Ogos lalu untuk mengutip dana.

Sumbangan kepada Tabung Kebajikan Anggota Bomba itu diserahkan Dato' Menteri Besar bagi membantu ahli badan beruniform tersebut yang memerlukan.

“Kita beri penghargaan kepada Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa yang berjaya melancar misi dan memuji komitmennya yang bersungguh mengutip dana untuk membantu anggota lain.

“Kayuhan sejauh 2,020km dengan melawat 63 balai bomba dan penyelamat (BBP) juga simbolik sempena sambutan kemerdekaan ke-63,” kata Dato' Seri Amirudin Shari pada Program Kayuhan Amal Berbasikal di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor di sini.

Beliau turut menyambut kehadiran Mohd Fakhrul Munir, 38, yang berkayuh dari Sungai Besar ke BBP Kota Anggerik, lokasi ke-61 kayuhan amal itu.

Sementara itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri sentiasa menjalin kerjasama baik dengan JBPM terutama isu tapak baharu balai.

“Kita akan pastikan tapak dicadangkan JBPM sesuai sebelum memberi kelulusan. Setakat ini beberapa tapak sudah diluluskan,” katanya lagi.

Mohd Fakhrul Munir mengayuh basikal mengelilingi Semenanjung secara solo sambil mengutip dana, yang akan diagih selepas tamat kayuhan pada 31 Ogos ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.