ad
BERITA UTAMA

Rujuk ADN untuk penjajaran semula lokasi strategik pasang Wi-Fi

12 Ogos 2020, 4:39 AM
Rujuk ADN untuk penjajaran semula lokasi strategik pasang Wi-Fi

SHAH ALAM, 12 OGOS: Kerajaan Negeri melakukan penjajaran semula lokasi pemasangan Wi-Fi bagi memastikan pelaksanaan inisiatif Data Internet Selangor sampai kepada kumpulan sasar.

EXCO sains, teknologi dan inovasi berkata pihaknya akan merujuk setiap Ahli Dewan Negeri (ADN) bagi mendapatkan lokasi strategik berkenaan dan menyelesaikannya secepat mungkin.

"Kita (Kerajaan Negeri) sedang buat penjajaran semula dengan merujuk setiap ADN untuk memberikan lokasi strategik untuk kita pasang Wi-Fi kerana ada peruntukan tertentu terutama (jumlah Wi-Fi) di kawasan tumpuan rakyat," kata Hee Loy Sian ketika dihubungi.

Inisiatif Data Internet Selangor dengan peruntukan RM18 juta yang diperkenalkan Dato' Menteri Besar dalam pakej rangsangan ekonomi fasa ketiga menyasarkan hampir 40,000 penerima di negeri ini.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata matlamat inisiatif adalah penjimatan kewangan untuk penggunaan data internet dan memudah cara inisiatif digitalisasi.

Selain itu, inisiatif ini merupakan sokongan untuk mempertingkatkan kemudahan capaian rakyat kepada perkhidmatan dalam talian yang disediakan terutama kepada golongan memerlukan seperti kumpulan B40, pelajar luar bandar, guru di sekolah luar bandar serta usahawan wanita.

Sebanyak 3,622 Wi-Fi Smart Selangor sudah dipasang di seluruh negeri sehingga Jun 2019.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.