ad
AGENDA

Persatuan pemaju gesa bank bantu rancakkan sektor hartanah

22 Jul 2020, 5:54 AM
Persatuan pemaju gesa bank bantu rancakkan sektor hartanah

SHAH ALAM, 22 JULAI: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) menggesa bank membantu pembeli dan peminjam merancakkan kembali sektor tersebut.

Presidennya, Datuk Ir Soam Heng Choon berkata bank boleh melaksanakan beberapa inisiatif kepada golongan sasar yang terkesan selepas tempoh moratorium enam bulan berakhir September ini.

"Ramai peminjam terjejas disebabkan pemberhentian kerja atau pengurangan gaji susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac, jadi kita bimbang keadaan ini mungkin semakin buruk selepas moratorium berakhir.

"Rehda minta bank tampil mengemukakan inisiatif bukan sahaja kepada peminjam sedia ada tetapi juga kepada bakal pembeli projek perumahan baharu, ini kita harapkan dan wajar dipertimbangkan bank," katanya kepada SelangorKini.

Pada 28 Jun lalu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata lanjutan moratorium bersasar adalah terpulang kepada bank.

Bagaimanapun, beliau berpendapat bank perlu mengkaji bantuan disasarkan tetapi menekankan bank tidak boleh dipaksa untuk berbuat demikian berikutan ia dalam bidang kuasa mereka.

Penangguhan pembayaran balik pinjaman, penstrukturan semula baki kad kredit dan pinjaman perniagaan melibatkan jumlah sekurang-kurangnya RM100 bilion dengan bank tempatan menawarkan penangguhan sehingga enam bulan bermula 1 April.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.