AGENDA

MB umum RM50 juta jamin bekalan makanan

13 Jul 2020, 3:52 AM
MB umum RM50 juta jamin bekalan makanan

SHAH ALAM, 13 JULAI: Sebanyak RM50 juta diperuntuk bagi pelaksanaan Program Keselamatan Bekalan Makanan dengan menggariskan lima langkah utama.

Langkah tersebut ialah menambah kawasan pertanian, meningkat aktiviti pengeluaran, memperkasa Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), meningkat insentif agropreneur dan menggiat kaedah pertanian moden.

"PKPS menjadi tunjang untuk mengerakkan inisiatif jaminan bekalan makanan melalui projek pertanian makanan dan penternakan yang akan mengoptimumkan penggunaan tanah 300 ekar," kata Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari ketika membentangkan pakej rangsangan ekonomi fasa di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Berikut perincian langkah yang diambil dan akan dipertingkat:

1. Menambah pembukaan kawasan pertanian di atas tanah milik Kerajaan dengan mewartakannya serta penggunaan tanah yang belum dimajukan dan untuk tempoh terdekat, oleh anak syarikat yang tidak terlibat di dalam sektor pertanian

2. Meningkatkan aktiviti pengeluaran di Kawasan Tanaman Kekal Pertanian Makanan

3. Memperkasakan PKPS dalam aktiviti pertanian makanan dan seterusnya menjadi peneraju utama sektor pertanian makanan di Selangor

4. Meningkatkan jumlah insentif kepada agropreneur seperti insentif input pertanian, baka ternakan serta peralatan khususnya golongan nelayan

5. Menggiatkan kaedah pertanian moden seperti fertigasi, hidroponik dan akuaponik, projek tanaman bertingkat dan penggunaan teknologi seperti dron, sensor dan aplikasi dalam talian

Pelan pemulihan menekankan tiga tonggak utama iaitu jaminan bekalan makanan, kemampanan ekonomi dan pembangunan keupayaan bagi menangani dampak Covid-19.

Jumlah keseluruhan nilai ekonomi bagi pelan ini ialah RM55.85 bilion.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.