AGENDA

Sifar kes Covid-19, sekadar sasaran atau boleh dicapai?

7 Jul 2020, 12:50 AM
Sifar kes Covid-19, sekadar sasaran atau boleh dicapai?

KUALA LUMPUR, 7 JULAI: Akhir bulan lepas, kita diberikan gambaran bahawa Malaysia dijangka mampu mencatatkan sifar kes harian Covid-19 sekitar pertengahan bulan ini.

Unjuran itu menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mampu dicapai sekiranya rakyat Malaysia kekal patuh dengan semua tatacara operasi piawai (SOP) dan nasihat menjaga penjarakan sosial, kerap mencuci tangan, menjaga kebersihan dan memakai pelitup separuh muka.

Adakah unjuran itu mampu dicapai atau akan digagalkan dek tindak-tanduk kita sendiri yang semakin mendapat kebebasan dalam pelbagai aktiviti dan sektor ekonomi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika ini?

Atau adakah kita sudah boleh bersedia mengangkat bendera kemenangan melihat kepada jumlah kes hanya mencatatkan satu angka sahaja sejak kebelakangan ini selain tiada kematian direkodkan selama 22 hari berturut-turut sejak 15 Jun?

Adakah kita juga boleh menarik nafas lega kerana kluster perhimpunan Masjid Seri Petaling, antara kluster terbesar dan ditakuti, merekodkan hanya satu kes positif Covid-19 yang aktif semalam?

Malah, Dr Noor Hisham berkata pengawasan dan pemantauan bagi kluster perhimpunan itu mungkin dapat ditamatkan dalam tempoh satu atau dua minggu lagi, satu lagi khabar gembira untuk negara.

Jika ini semua diambil ukuran, tidak mustahil sasaran untuk mencatatkan sifar kes harian Covid-19 sekitar pertengahan bulan ini, mampu tercapai. Tepuk dada, tanya selera.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.