EXCO

Pasar pagi, pasar malam dan bazaria dibuka sepenuhnya minggu ini

22 Jun 2020, 8:01 AM
Pasar pagi, pasar malam dan bazaria dibuka sepenuhnya minggu ini

SERDANG, 22 JUN: Operasi pasar pagi, pasar malam dan bazaria di Selangor dijangka dibuka sepenuhnya minggu ini dengan pematuhan ketat tatacara operasi piawai (SOP).

EXCO kerajaan tempatan berkata setakat ini hampir 50 peratus pasar sudah beroperasi dengan pemantauan penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Saya berpuas hati dengan tahap pematuhan tatacara operasi piawai (SOP), saya lihat peniaga dan pelanggan memberi kerjasama serta patuh dengan kebiasaan baharu.

"Semua pihak diminta mengekalkan disiplin, kita tidak mahu hanya mula-mula sahaja patuh, lepas itu langgar SOP kerana penularan Covid-19 masih berlaku," kata Ng Sze Han selepas melawat kilang di Kawasan Perindustrian Balakong hari ini.

Operasi pasar pagi, pasar malam dan bazaria dibuka secara berperingkat di lokasi terpilih mulai 15 Jun mengikut ketetapan PBT dengan merujuk SOP Majlis Keselamatan Negara.

Pasar pagi, pasar tani dan pasar terbuka dibenarkan beroperasi dari 6 hingga 11 pagi, pasar malam (4 petang hingga 10 malam) dan bazaria (5 petang hingga12 malam).