SHAH ALAM, 21 JUN: Jumlah kes baharu positif Covid-19 di Selangor hari ini turun kepada empat kes berbanding 12 semalam, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Kementerian itu memaklumkan dua daripada kes dicatat adalah kes import manakala baki jangkitan tempatan.
"Dua jangkitan membabitkan bukan warganegara adalah kontak rapat kepada kes positif ke-8,513. Mereka adalah daripada kluster syarikat pembersihan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Daripada keseluruhan 16 kes baharu di seluruh negara hari ini, 13 adalah penularan tempatan membabitkan sembilan bukan warganegara dan empat rakyat tempatan.
Jumlah kes bukan warganegara tertinggi sehingga jam 12 tengah hari direkodkan Negeri Sembilan dengan enam kes menerusi kluster Pedas sementara satu lagi di Sabah hasil saringan tahanan di Pusat Tahanan Sementara Tawau sebelum penghantaran pulang ke Indonesia.
KKM menjelaskan, bagi penularan melibatkan warganegara terdapat dua kes di Sarawak merupakan kontak rapat kepada kes positif ke-8,535 daripada kluster Kidurong, satu kes saringan Orang Kena Tuduh (OKT) yang baharu dimasukkan ke lokap di Melaka dan satu lagi kes saringan pra pembedahan di hospital di Johor.
Sehingga kini Kuala Lumpur kekal dengan jumlah kumulatif Covid-19 tertinggi dengan 2,430 diikuti Selangor (2,025) dan Negeri Sembilan (1,002).








