AGENDA

Boleh bawa anak pergi jalan, patuhi penjagaan kesihatan - menteri kanan

17 Jun 2020, 7:51 AM
Boleh bawa anak pergi jalan, patuhi penjagaan kesihatan - menteri kanan

PUTRAJAYA, 17 JUN: Tiada larangan untuk membawa kanak-kanak ke tempat awam termasuk pusat beli-belah dan restoran, namun perlu mematuhi penjagaan kesihatan sewaktu negara sedang berdepan pandemik Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada peruntukan atau hukuman dikenakan ke atas ibu bapa yang membawa kanak-kanak ke kawasan awam berkenaan, kerana ia tidak diwartakan.

Katanya tidak ada tegahan untuk tidak benarkan kanak-kanak pergi membeli mainan, beli-belah, dan sebagainya bersama ibu bapa mereka.

“Cuma sering kali saya nasihatkan, kalau boleh jangan bawa kanak-kanak kerana mereka golongan berisiko tinggi, dan ibu-bapa kena jaga kepentingan anak mereka walaupun dipakaikan pelitup separuh muka.

“Tidak ada hukuman kerana tidak diwartakan yang kanak-kanak tidak boleh dibawa ke restoran dan pusat beli-belah. Tapi kerana anak-anak berisiko tinggi dengan jangkitan COVID-19, kita galakkan tidak bawa anak bersama-sama,” katanya pada sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

Tegasnya, kerajaan juga tidak menetapkan halangan untuk kanak-kanak beriadah di taman permainan dan pusat beriadah, namun perlu mematuhi penjarakan sosial selain tidak berhimpit-himpit.

Ditanya sama ada panggung wayang sudah dibenarkan beroperasi, beliau berkata, perkara itu belum diputuskan oleh Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.