AGENDA

Semua acara sambutan Hari Keputeraan Yang Di-Pertuan Agong ditangguh

22 Mei 2020, 7:19 AM
Semua acara sambutan Hari Keputeraan Yang Di-Pertuan Agong ditangguh

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Semua acara sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Jun ini ditangguhkan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan hari ini berkata, Yang di-Pertuan Agong menitahkan penangguhan itu adalah selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun ini untuk mengekang penularan Covid-19.

“Kesemua acara yang dijadualkan pada 3 hingga 11 Jun, ditangguhkan atas faktor keselamatan dan kesihatan umum kerana negara masih lagi menghadapi serta memerangi ancaman penularan wabak Covid-19.

“Kesemua acara ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Ahmad Fadil berkata seperti mana yang diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Zuki Ali pada 4 Mac lepas, Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka tahun ini ialah pada Isnin, 8 Jun dan hari itu diisytiharkan sebagai hari kelepasan am.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.