AGENDA

MB: E-Dapur Selangor catat nilai jualan RM1.52 juta

19 Mei 2020, 3:37 PM
MB: E-Dapur Selangor catat nilai jualan RM1.52 juta

SHAH ALAM, 19 MEI: Inisiatif Kerajaan Negeri mewujudkan e-Dapur Selangor menerusi Platform Selangor (Plats) dan e-panggilan Grab merekodkan nilai jualan keseluruhan RM1.52 juta setakat ini, kata Dato' Menteri Besar.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata, e-dapur bukan sahaja mencipta norma baharu tetapi ia turut membantu menjana pendapatan peniaga terutama ketika Ramadan pada musim Covid-19.

"Alhamdulillah inisiatif e-Dapur Kerajaan Selangor ini bukan sahaja memainkan peranan dalam norma baharu kehidupan tetapi turut membantu menjana pendapatan dan memberi kesan kepada aliran ekonomi.

"Jumlah jualan keseluruhan daripada inisiatif Plats dan Grab Selangor setakat ini telah mencecah hampir RM1.52 juta sekali gus membuktikan tindakan Kerajaan Negeri mewujudkan inisiatif ini adalah tindakan yang wajar," tulis beliau di Facebook malam ini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri berbangga menjadi peneraju sistem e-dagang dan akan terus menambah baik sistem ini demi kesejahteraan penduduk Selangor.

Katanya, beliau melawat beberapa pusat operasi e-dapur di negeri ini termasuk di Sungai Tua dan mendapati sambutan dalam kalangan peniaga dan pembeli menggalakkan

Pada 18 April lalu, Kerajaan Negeri memperkenalkan e-Dapur Selangor susulan pembatalan bazar Ramadan pada tahun ini ekoran penularan Covid-19.

Sebanyak 77 pusat pengumpulan dipilih meliputi 10 dewan seliaan pihak berkuasa tempatan dan 67 restoran menyediakan juadah Ramadan di seluruh negeri ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.