ad
EXCO

E-Bazar Ramadan Selangor catat jualan lebih RM500,000 - EXCO

15 Mei 2020, 1:59 PM
E-Bazar Ramadan Selangor catat jualan lebih RM500,000 - EXCO

SHAH ALAM, 15 MEI: Jualan makanan yang dipasarkan peniaga e-Bazar Ramadan menerusi saluran Grab Selangor mencecah RM564,855.24 setakat ini, kata EXCO usahawan.

Rodziah Ismail berkata ia susulan keberkesanan strategi pemasaran yang dijalankan syarikat penyedia perkhidmatan itu sepanjang tempoh pelaksanaan e-Bazar Ramadan bermula 24 April hingga 12 Mei lalu.

“Pembeli tidak berdepan masalah menggunakan saluran e-dagang ini untuk menempah menu berbuka puasa.

“Namun, terdapat beberapa lokasi yang agak kurang pembeli terutama di kawasan pinggir bandar kerana kurang kesedaran pengguna berhubung pembelian secara dalam talian," katanya ketika mengulas sambutan perkhidmatan itu kepada SelangorKini.

Beliau bagaimanapun berkata sebaliknya pula berlaku ke atas sambutan pembelian melalui Platform Selangor (Plats) yang dilihat perlahan memandangkan saluran e-dagang khas itu masih baharu dan diwujudkan semasa pelaksanaan dapur berpusat selain kekangan tempoh pemasaran.

"Cabaran mendapatkan peniaga agak sukar di peringkat awal kerana ia cara baharu yang menjadi persoalan kepada peniaga adakah cara ini berhasil atau tidak," katanya.

Selangor menyediakan 200 ruang untuk peniaga menjual juadah berbuka puasa dengan pendaftaran dibuka sehingga akhir minggu pertama Ramadan lalu.

Dua saluran e-dagang iaitu Grab Selangor dan Platform Selangor (Plats) dipilih dengan penghantaran tempahan dikendali syarikat penghantar seperti Grab, BungkusIt, Mr Speedy, Zepto Express dan MatDespatch.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.