AGENDA

Empat tapak pembinaan langgar SOP diarah tutup

14 Mei 2020, 7:59 AM
Empat tapak pembinaan langgar SOP diarah tutup

SHAH ALAM, 14 MEI: Empat tapak binaan diarah tutup kerana tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang dikhuatiri boleh menyebabkan penularan Covid-19, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pemantauan dijalankan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) semalam dan turut mengesan lapan lagi tapak binaan melanggar SOP Majlis Keselamatan Negara.

"Setakat ini sebanyak 3,735 tapak binaan diperiksa dan daripada jumlah tersebut, 122 tapak pembinaan tidak patuh SOP dan diberi amaran," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Ahad lalu, tapak pembinaan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur diarah tutup 30 hari kerana tidak mematuhi syarat kelulusan perintah pembangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pada 3 Mei lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata DBKL dan CIDB akan mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor yang membina rumah kongsi pekerja tanpa mematuhi garis panduan ditetapkan.

Ia susulan penularan wabak Covid-19 di sebuah tapak pembinaan di ibu negara membabitkan 28 pekerja asing yang diumumkan Kementerian Kesihatan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.