AGENDA

KKM: Tepati jadual vaksin imunisasi kanak-kanak

24 Apr 2020, 4:54 AM
KKM: Tepati jadual vaksin imunisasi kanak-kanak

SHAH ALAM, 24 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) meminta ibu-bapa yang pulang ke kampung supaya membuat temujanji rawatan imunisasi anak-anak di klinik kesihatan atau klinik swasta berdekatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata walaupun negara dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun vaksin imunisasi terhadap kanak-kanak mesti diteruskan untuk mengekalkan imuniti tinggi.

“Program imunisasi di semua fasiliti kesihatan berjalan seperti biasa. Ibu-bapa disarankan menepati jadual imunisasi dan tarikh temujanji yang ditetapkan.

“Elakkan daripada keciciran imunisasi untuk bayi untuk bayi dan kanak-kanak,” ,” katanya dalam kenyataan sempena Minggu Imunisasi Kebangsaan yang bermula hari ini.

Tegas beliau, kelewatan pemberian imunisasi bukan sahaja boleh meningkatkan risiko penyakit campak dan polio kepada kanak-kanak malah mengancam nyawa.

Menurut Hisham, data KKM menunjukkan terdapat 15 kes kematian penyakit campak (measles) tahun lalu, berbanding hanya enam pada 2018.

Manakala 915 kes bagi penyakit batuk kokol, dengan 20 kematian, sekaligus meningkat berbanding 2018, iaitu sebanyak 892 kes dengan 22 kematian.

“Majoriti kes-kes ini tidak menerima suntikan vaksin. Terdapat juga kes berlaku di kalangan bayi yang belum layak iaitu belum sampai untuk menerima vaksin,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.