AGENDA

Umat Islam di Malaysia mula berpuasa esok

23 Apr 2020, 12:13 PM
Umat Islam di Malaysia mula berpuasa esok

KUALA LUMPUR, 23 APRIL:  Umat Islam di Malaysia mula berpuasa esok, demikian diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Syed Danial berkata tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari tersebut menurut perintah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Pengumuman itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.

Sebelum ini, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui satu kenyataan menetapkan tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menetapkan permulaan puasa untuk umat Islam di Malaysia ialah pada hari ini bersamaan 29 Syaaban 1441 Hijrah.

Jawatankuasa berkenaan melihat anak bulan Ramadan di 15 kawasan terpilih ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung pandemik Covid-19.

Menurut kenyataan itu juga, Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah serta Hisab.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.