AGENDA

Covid-19: Cuti pegawai, anggota tentera tidak dibeku

21 Apr 2020, 4:59 AM
Covid-19: Cuti pegawai, anggota tentera tidak dibeku

KOTA BHARU, 21 APRIL: Cuti pegawai dan anggota tentera tidak dibekukan namun pemberiannya diperketatkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani penularan wabak Covid-19.

Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata pihaknya masih memberikan cuti kepada pegawai dan anggota yang bertugas terutama jika ia melibatkan hal-hal kebajikan mereka terutama yang melibatkan kematian ahli keluarga anggota.

"Kebenaran bercuti akan diberikan berdasarkan kes-kes yang berlaku ke atas pemohon," katanya selepas melawat lokasi Op Penawar di bawah Kawasan Tanggungjawab (KTJ) Briged Kelapan Infantri (8 Briged) di Sekatan Jalan Raya (SJR) Kok Lanas di sini hari ini.

Hadir sama Panglima 2 Divisyen Mej Jen Datuk Mardzuki Muhammad, Panglima 8 Briged Brig Jen Zamsari Abu Hasan dan Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan.

Dalam pada itu, Ahmad Hasbullah turut menasihatkan pegawai dan anggotanya agar menjaga kesihatan bagi mengelak mereka dijangkiti Covid-19.

"Kalau ada pegawai dan anggota tentera dah terkena jangkitan Covid-19 saya terpaksa laksanakan sekatan pergerakan satu kem. Itulah seriusnya jika ada pegawai atau anggota tentera dijangkiti," katanya.

Beliau turut berharap agar pegawai dan anggota yang ditugaskan dalam operasi mengawal sempadan negara dan Op Penawar dapat melaksanakan tugas dengan baik terutama pada bulan Ramadan ini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.