AGENDA

Tunda cuti Aidilfitri akan diputuskan menteri agama

20 Apr 2020, 6:52 AM
Tunda cuti Aidilfitri akan diputuskan menteri agama

SHAH ALAM, 20 APRIL: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan mencadangkan atau memutuskan jika ada keperluan menangguhkan cuti umum Aidilfitri seperti dilaksanakan Indonesia, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata setakat ini kerajaan tidak membincangkan perkara itu dan terpulang kepada menteri berkenaan membuat cadangan jika perlu.

"Tangguh raya... ini semua akan diputus atau dicadangkan oleh menteri agama, bukan sahaja dari segi raya, malah soal Tarawih semuanya diputuskan menteri agama, (apa pun) kita puasa dulu," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan sama ada Malaysia bercadang mengambil tindakan seperti Indonesia bagi memastikan tidak berlaku pergerakan pulang ke kampung secara besar-besaran bagi menyambut Aidilfitri.

Baru-baru ini, Jakarta Post melaporkan Indonesia akan menangguhkan cuti umum sempena sambutan Aidilfitri ke Disember ekoran penularan wabak Covid-19.

Keputusan itu dibuat kerana pemerintah gusar tradisi mudik lebaran (balik kampung sempena lebaran) yang menjadi acara tahunan di negara itu akan menyebabkan penularan Covid-19 sukar dikawal.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.