AGENDA

Individu tiada gejala tanpa pakai penutup mulut tidak boleh ditangkap

17 Apr 2020, 8:13 AM
Individu tiada gejala tanpa pakai penutup mulut tidak boleh ditangkap

SHAH ALAM, 17 APRIL: Semua penguat kuasa termasuk polis tidak boleh menangkap individu tidak bergejala yang tidak memakai penutup mulut, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata begitu juga pihak pengurusan dan pengawal keselamatan pasar raya tidak boleh menghalang orang awam tanpa simptom yang tidak memakai topeng muka daripada memasuki premis tersebut.

"Ketua Pengarah Kesihatan (Datuk Dr Noor Hisham Abdullah) berulang kali menyatakan dalam sidang media harian beliau bahawa hanya mereka yang bergejala perlu memakai penutup mulut," kata beliau pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata demikian bagi menjawab pertanyaan berhubung laporan bahawa terdapat polis menahan individu kerana tidak memakai penutup mulut.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata tiada keperluan bagi pekerja pembersihan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) memakai pakaian perlindungan peribadi (PPE) ketika berada di kawasan tersebut.

Ini kerana, kata beliau, pekerja pembersihan tiada kontak rapat dengan penduduk yang perlu sentiasa berada di dalam rumah.

Beliau juga sekali lagi mengingatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) jika mahu menghantar bantuan kepada petugas barisan hadapan atau gelandangan.

"Kita bukan mengekang sesiapa pun untuk membantu, tetapi demi keselamatan kerana jika individu yang menerima bantuan itu positif Covid-19, kita dapat cari NGO tersebut dan selamatkan kontak rapat mereka," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.