AGENDA

Sembunyi maklumat ke luar negara, lelaki dihukum lakukan khidmat masyarakat

12 Apr 2020, 7:39 AM
Sembunyi maklumat ke luar negara, lelaki dihukum lakukan khidmat masyarakat

ALOR SETAR, 12 APRIL: Seorang penghantar surat diperintah melakukan program khidmat masyarakat selama tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah gagal memberikan maklumat berhubung sejarah perjalanannya ke luar negara semasa saringan Covid-19 di Pendang, 26 Mac lepas.

Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap Omar Mat Khatib, 31, yang bekerja di Singapura, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh melakukan khidmat masyarakat selama tiga jam sehari dan melapor diri kepada pejabat Parol Pendang.

Menurut pertuduhan, dia didakwa gagal mematuhi permintaan pegawai (kesihatan) untuk membekalkan maklumat berhubung dengan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit di kaunter saringan Covid-19, Klinik Kesihatan Daerah Pendang pada 12 tengah hari, 26 Mac lepas.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di bawah Peraturan 6, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum mengikut Peraturan 7(1) peraturan sama iaitu denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fatin Dalilah Khalid, manakala tertuduh diwakili peguam Zuriyah Mhd Nordin.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.