AGENDA

MSN: Semua atlet, jurulatih negatif Covid-19

1 Apr 2020, 12:19 AM
MSN: Semua atlet, jurulatih negatif Covid-19

KUALA LUMPUR, 1 APRIL: Kesemua 107 atlet, jurulatih dan pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) disahkan negatif Covid-19, kata ketua pengarahnya.

Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata jumlah itu termasuk kontak rapat dan kontak sekunder atlet baling tukul besi negara Jackie Wong yang disahkan positif dan kini sedang dirawat di Hospital Sibu, Sarawak.

Katanya, ia turut merangkumi beberapa atlet yang baru pulang dari luar negara sama ada menyertai kejohanan atau menjalani program latihan.

“Sehingga 30 Mac, daripada 107 yang dikuarantin, 86 orang menjalani ujian sama ada melalui pejabat kesihatan daerah ataupun swasta dan keputusan ujian yang diperoleh adalah negatif.

“Sementara baki 21 orang yang tidak perlu melakukan ujian juga bebas daripada proses kuarantin di rumah apabila tidak menunjukkan sebarang gejala setelah tamat proses kuarantin selama 14 hari,” katanya dalam kenyataan semalam.

Berhubung status kesihatan Jackie, Ahmad Shapawi berkata keputusan sampel ujian kali ketiga pemenang pingat perak Sukan SEA Filipina 2019 itu yang diambil pada Sabtu lalu menunjukkan keputusan negatif.

“Namun, beliau masih perlu melalui ujian kali terakhir yang dibuat pada 30 Mac untuk memastikannya

benar-benar bebas daripada jangkitan dan keadaan beliau ketika ini sihat,” tambahnya.

Sementara itu, Ahmad Shapawi berkata MSN bersama Institut Sukan Negara (ISN) melalui Jawatankuasa Bertindak Covid-19 sudah melaksanakan beberapa tindakan serta-merta.

Beliau berkata bagi tujuan pencegahan, MSN dan ISN melakukan proses sanitasi sebanyak dua kali pada 17 Mac dan 24 Mac melibatkan kawasan yang dikunjungi Jackie dalam tempoh 1 hingga 10 Mac sebelum proses sama di keseluruhan Kompleks MSN, ISN dan Pejabat Pesuruhjaya Sukan pada 25 Mac.

“Sememangnya harapan kita agar tiada lagi jangkitan melibatkan atlet, jurulatih dan pegawai sukan negara dan mereka dinasihatkan supaya mendapatkan pemeriksaan terus di hospital atau pejabat kesihatan berdekatan bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut jika terdapat simptom.

“Atlet perlu terus melakukan latihan persendirian berdasarkan program latihan yang dibekalkan oleh jurulatih masing-masing dan semua diminta mematuhi segala arahan dan panduan dikeluarkan pihak kerajaan dari semasa ke semasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini,” katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.