AGENSI

Covid-19: Uptown Shah Alam ditutup hingga 31 Mac

17 Mac 2020, 7:18 AM
Covid-19: Uptown Shah Alam ditutup hingga 31 Mac

SHAH ALAM, 17 MAC: Operasi perniagaan di Uptown Shah Alam, Seksyen 24 dihentikan sementara bermula esok hingga 31 Mac berikutan penularan Covid-19, kata pengurus komunikasi korporat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Mahfizul Rusydin Abd Rashid berkata penutupan membabitkan 430 peniaga yang menjual pelbagai barangan.

“Keputusan dan arahan ini dibuat atas faktor keselamatan dan kesihatan peniaga serta pengunjung Uptown Shah Alam bagi mencegah penularan Covid-19.

“Peniaga boleh menghubungi Bahagian Jualan Hartanah Wilayah Utara PKNS untuk maklumat lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, PKNS turut mengambil langkah proaktif mencegah wabak Covid-19 di ibu pejabatnya dengan membuat saringan kesihatan di lobi pelawat serta menangguhkan acara rasmi.

Malam tadi, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai esok hingga 31 Mac.

Perintah itu membabitkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.